MAZNAH (bukan nama sebenar), ibu lima anak dan isteri Bahari (bukan nama sebenar), seorang pesara. Hidup mereka tidak mewah,
tetapi cukup segala-galanya. Bahari pula sering berulang- alik ke hospital untuk menerima rawatan kerana menghidap penyakit kronik.
Suatu hari, dua adik lelaki Maznah datang ke rumahnya dan membawa berita gembira iaitu ingin mengajaknya menunaikan haji.
Mereka berpendapat kakak mereka yang berpengalaman menunaikan haji, tentu tahu selok-belok dan cara membuat haji dengan betul. Maznah bangga mendengar pujian adiknya, namun kerana terpaksa menjaga suami, dia serba salah dan agak keberatan.
“Kakak pernah pergi dulu, nanti apa pula kata abang Bahari. Memanglah, kalau diikutkan hati, siapa yang tidak mahu pergi ke Tanah Suci. Seribu kali pergi tidak puas lagi,” katanya dengan suara sugul.
Selepas dipujuk, Maznah lembut hati dan mahu mengikut mereka menunaikan haji untuk kali kedua.
Maznah menghantar namanya ke Tabung Haji tanpa pengetahuan suami dan anak. Beliau menjalani rutin harian tanpa meminta izin suami. Apabila tiba masa yang sesuai, dia akan memberi tahu suaminya.
Apabila tiba waktu panggilan dari Tabung Haji, Maznah mendapat surat mengarahkan dia mendaftar dan mengikuti kursus haji.
Gembira bukan kepalang, beliau lantas memberitahu adik-adiknya.
Maznah langsung tidak terfikir untuk meminta kebenaran suaminya. Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila duit simpanannya hanya cukup untuk pakej mengerjakan haji, sedangkan wang poket tidak ada.
Namun akalnya panjang, dia teringatkan anak-anaknya lalu mengumpulkan mereka di rumah. Anak-anak yang tidak tahu hujung pangkal pulang dalam keadaan tertanya-tanya.
“Sebenarnya, mak minta kamu berkumpul sebab nak minta tolong. Permohonan untuk pergi haji sudah diluluskan, jadi mak nak minta bantuan kewangan untuk duit poket dan kecemasan. Tambang pakej sudah sedia. Kalau hendak mengharapkan ayah kamu, dia sakit,” katanya. Semua yang mendengar terkejut, terutama suaminya.
“Bila masa pula kamu tanya saya hendak pergi haji,” tanya Bahari dengan sedikit berang.
“Saya tanya atau tidak, sama juga. Lagipun awak sakit, nanti menjejaskan kesihatan awak pula,” jawab Maznah kepada suaminya.
“Bukankah mak sudah pergi dulu? Buat apa nak pergi banyak kali sebab yang wajibnya sekali saja. Ayah sudah beri keizinan ke belum,” tanya anak sulungnya.
“Ala, kalau tanya ayah kamu bukannya dia hendak bagi. Baik mak tak payah tanya,” balasnya.
“Tak boleh macam itu. Mak kena dapatkan keizinan ayah dulu. Lagipun buat apa nak pergi, sedangkan ayah lebih memerlukan mak di sini. Bukankah ayah sakit?” katanya.
“Alah, kakak dengan abang ini, itupun nak berkira. Kan mak hendak pergi beribadat, hulur sajalah sikit duit poket.” kata anak bongsunya.
Bahari sebagai ayah tidak dapat bersuara kerana tidak mahu membebankan fikirannya. Hatinya kecewa dengan sikap Maznah yang membelakangkan dirinya sebagai suami. Beliau hanya mampu mendiamkan diri dan cuba menahan rasa marah dan hati terluka.
Beliau tidak menyangka Maznah sanggup bertindak di luar pengetahuannya, malah langsung tidak mempelawa untuk bersama menunaikan haji.
Anak-anaknya pula bertengkar sesama sendiri untuk menguatkan hujah masing-masing. Sebagai ibu, Maznah tidak meleraikan mereka, sebaliknya turut sama bertegang leher untuk meminta duit daripada mereka.
“Mak bukannya pergi suka-suka,” tegas Maznah. Bahari menggeleng-gelengkan kepala kerana tahu anak-anaknya bukannya mewah sangat dan gaji pula hanya cukup untuk menyara keluarga saja. Mereka ada masalah tersendiri.
“Mak, tolonglah faham masalah kami. Saya bukannya bergaji besar dan ada empat anak untuk ditanggung. Saya bukan tak mahu beri, tapi mak pergi tak kena masa.,” kata anaknya.
Akhirnya tiada kata putus dicapai, sebaliknya anak-anaknya pula bermasam muka. Bagi Bahari, tiada apa yang perlu diceritakan. Dia seperti tidak wujud bagi isterinya kerana Maznah sanggup memperlakukan dia begitu.
Beliau berserah kepada Allah dan memohon diberi petunjuk kepada isterinya. Dia sudah tidak ada upaya untuk menasihati isterinya yang keras kepala.
Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan doa orang yang teraniaya pasti ditunaikan. Belum sempat Maznah pergi, beliau ditimpa sakit yang tidak diketahui puncanya iaitu terlantar tidak berdaya, mulutnya senget sebelah dan tidak dapat bercakap dengan jelas serta badannya tidak bergerak bagaikan orang lumpuh.
Bahari pula yang terpaksa menjaga Maznah dengan setia. Beliau walaupun terguris dengan perbuatan isterinya, tidak mahu mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Bahari sedia mengampunkan dosa isterinya jika perkara buruk terjadi.
Melihatkan Bahari ikhlas menjaganya, Maznah terharu dan menyesal di atas perlakuannya. Itulah balasan yang akan diterima oleh seorang isteri yang tidak menghormati suami.
Niatnya untuk beribadat kepada Allah, tetapi jika tidak diiringi dengan keizinan suami, dosa balasannya.
01 April 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment