05 February 2010

panduan cara meninggalkan maksiat


Sempena hari Jumaat, penghulu segala hari ini, ada baiknya saya menulis tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama/ibadah.

Semoga apa yang dicatatkan ini sedikit sebanyak memberi peringatan dan panduan kepada kita bersama insyaAllah.

Baiklah, hari ini saya ingin memberikan beberapa panduan cara bagaimana kita dapat meninggalkan perbuatan maksiat yang dibenci dan dilaknat oleh ALLAH SWT.



Sesungguhnya untuk meninggalkan maksiat itu adalah lebih berat daripada mengerjakan taat (perkara yang diperintah oleh Allah dan Rasul Nya).

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda : “Orang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah orang yang berhijrah dari kejahatan. Dan mujahid yang sebenarnya ialah orang yang memerangi hawa nafsunya.”

Sahabat2ku, ingatlah sungguh2 amaran yang ALLAH telah berikan pada kita.

Apa kata ALLAH?
Firman Allah S.W.T : “Dihari itu (Kiamat) akan bersaksilah keatas kamu oleh segala lidah mu, tangan mu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (di Dunia dahulu).” - Surah An Nur : Ayat 24.

“Pada hari ini (Kiamat) Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi dihadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka telah lakukan (di Dunia dahulu).” Surah Yassin : ayat 65.

Berikut ini adalah beberapa panduan cara bagaimana kita dapat menghindarkan diri kita daripada terjebak dalam perbuatan maksiat yang mengundang kemurkaan ALLAH SWT. Sama2 lah kita beringat yaaa.

•1) Menjaga Mata
Peliharalah mata daripada perkara-perkara seperti melihat perempuan yang bukan mahram, melihat gambar-gambar lucah, melihat orang lain dengan pandangan penghinaan dan melihat keaiban orang lain.

•2) Menjaga Telinga
Menjaga telinga daripada mendengar perkara bida’ah, perkataan-perkataan yang jahat, perkataan yang sia-sia atau menyebut keaiban / kejahatan orang lain.

•3) Menjaga lidah
Lidah adalah anggota yang paling berkesan keatas diri sendiri dan juga terhadap orang lain. Berapa ramai nanti manusia yang akan dihumban kedalam api neraka dengan sebab jenayah lidah mereka. Jagalah lidah kita dari perkara-perkara seperti bercakap bohong, mungkir janji, mengumpat, bertengkar / berdebat / membantah perkataan orang lain, memuji diri sendiri, melaknat makhluk Allah, mendoakan celaka bagi orang lain dan bergurau / memperolok atau mengejek orang lain.

* Ingat betul2 pesanan Rasulullah S.A.W. ini. Sabda baginda : “Sesungguhnya seseorang itu terkadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain menjadi tertawa dari sebab percakapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa perkataan nya itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan kedalam api neraka selama tujuh puluh tahun.” - Riwayat At Tirmizi daripada Abu Hurairah R.A.

•4) Menjaga perut
Memelihara perut daripada memakan makanan yang haram atau yang syubahat ATAU berlebihan dalam memakan yang halal.

•5) Menjaga Kemaluan
Menjaga kemaluan daripada apa-apa yang diharam kan oleh Allah S.W.T.

•6) Menjaga Dua Tangan
Menjaga kedua tangan daripada memukul seseorang muslim dan daripada mencapai sesuatu yang diharamkan atau menyakiti sebarang makhluk Allah atau menulis sesuatu yang diharamkan atau menyakiti perasaan orang lain.

•7) Menjaga Dua Kaki
Memelihara kedua kaki dari berjalan ketempat yang diharamkan atau berjalan menuju kepada pemerintah yang zalim tanpa ada darurat atau paksaan kerana dianggap menghormati diatas kezaliman mereka, sedangkan Allah menyuruh kita berpaling daripada orang yang zalim.



Yaa sahabat2ku…apabila kita menggunakan anggota tubuh kita bagi tujuan yang lain daripada yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. bermakna kita tidak bersyukur(kufur)terhadap nikmat yang diberikan ALLAH kepada kita.

Akhir kata, mari kita ingat pesanan Nabi SAW pada kita. Apa kata baginda?

Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang Ahmaq (bodoh)ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T. (berangan untuk mendapatkan kebaikan diakhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat).” - Riwayat At Tirmizi.

Jadi apa kata anda? Sudah terjagakah seluruh panca indera kita dalam mentaati perintah ALLAH dan menjauhi larangannya?

Hmmm….cakap memang senang. Tulis benda ni pun bukannya susah mana. Yang payah dan susahnya ialah MACAMMANA NAK AMAL? Nak praktikkan segala ilmu yang kita ada. Aduhai…peritnya melawan nafsu ini kan…..?

Sumber rujukan : Bidayatul Hidayah (Imam Al Ghazali)
Olahan & Susunan Ayat : Krew PakarHowTo.Com

petua dikasihi suami


1. Bagi seorang isteri, anda perlulah menjamu mata suami anda. Lelaki mudah terangsang oleh penglihatan matanya. Pakailah pakaian yang menarik perhatiannya. Lemparkan senyuman yang bermakna. Berdandanlah dengan sempurna.. selitkan jelingan-jelingan manja.

2. Sambutlah kepulangan suami anda dengan gembira dan hantarlah pemergiannya dengan hati yang sedih dan mengharapkan kesetiaan. Jangan lupa untuk bersalaman dan berciuman apabila dia pulang dan apabila dia mahu meninggalkan rumah. Uruskan perihal suami anda dari segi makanan dan pakaiannya. Isteri yang bijak menjaga suami akan mengambil berat mengenai dua perkara penting, pertama zakar suaminya dan kedua perut suaminya.

3. Banyak membantu suami anda. Terutamanya apabila suami anda bermasaalah. Jangan banyak meminta-minta kerana ini akan menyebabkan suami anda berdukacita. Walaupun anda bekerja, usah boros dalam berbelanja, sama-samalah merancang masa depan bersama suami anda. Rujuklah kepada suami anda dalam hal-hal yang mana anda sendiri kurang yakin atau perkara yang melibatkan kesan terhadap ekonomi rumahtangga.

4. Nyatakan sayang anda kepada suami anda. Ia patut dilakukan setiap hari, walaupun setelah anda beranak cucu. Jangan anggap diri anda terlalu tua untuk itu semua.

5. Apabila berkesempatan, sentuh dan belailah suami anda selalu. Anda boleh mencuri-curi menciumnya ketika tidak dilihat oleh orang lain. Anda boleh memegang tangannya atau bahunya bila berjalan-jalan.

6. Jadikan amalan untuk menidurkan anak-anak anda lebih awal dari masa anda hendak masuk tidur. Amalkan juga masuk tidur bersama suami anda. Inilah antara masa yang paling manis dalam kehidupan berumahtangga.

7. Jika anda meminta pertolongan dari suami anda dan suami anda membantu tetapi tidak sempuna perbuatannya, jauhilah dari berleter atau marah kepadanya. Ini akan hanya menyebabkannya berjauh hati dan merajuk.

8. Jagalah anak-anak anda dengan baik dari segala segi. Elakkan dari sentiasa memarahi anak-anak anda, gunakan strategi memujuk dan mendorong. Jika anda selalu marahkan anak-anak anda di depan suami anda, suami anda mungkin merasa kurang senang, lagipun anak anda adalah anaknya yang disayanginnya.

9. Selalulah memicit-micit dan mengurut suami anda. Amalkan mandi bersamanya dan menggosok-gosok badannya. Jangan sekali mengatakan, busuk pengotor,selekeh atau kata2 yg tidak sepatutnya dilemparkan, kerana hati suami akan tersentuh apabila isteri berkata2 demikian.

10. Apabila anda masuk tidur bersama suami anda, bukalah segala pakaian anda dan berselimut bersama suami anda. Ciumlah dengan ciuman yang hangat, iaitu ciuman yang memberikan pengertian bahawa “hanya kaulah satu-satunya kekasihku”.

11. Bila anda tidur, sentiasalah mengadap suami anda. Jika pun anda hendak membelakanginya minta izin darinya atau anda berpusing sambil menyentuhnya. Cubalah tidur berbantalkan bahu suami anda, anda akan merasakan kenikmatannya.

12. Elakkan bercerita mengenai suami anda kepada orang lain, terutama sekali perkara yg boleh menjatuhkan air muka suami anda. Jika perlu pun, ceritalah perkara-perkara yang baik sahaja. Itulah tanda anda benar-benar mengasihi suami anda.

13. Sekiranya suami anda berhajat untuk “bersama” anda, layanilah ia dengan baik walau bagaimanapun kesibukan dan keletihan anda. Banyak perceraian atau kes poligami berpunca dari isteri yang kurang faham dengan keperluan suaminya di sudut seks. Kurangnya layanan dan banyaknya alasan menyebabkan suami berasa bosan terhadap anda.

14. Sesekali, ajaklah pula suami anda berjima’. Jika anda merasa malu untuk menyatakannya, lakukan godaan dengan halus. Biasanya seorang lelaki akan memahami tanda-tanda anda memerlukan jima’. Ini akan membuatkan suami anda merasa bahawa dia diperlukan.

15. Apabila anda bersetubuh dengan suami anda, janganlah biarkan dia bersendirian melayarkan bahtera, sedangkan anda cuma menyuakan tubuh anda untuk disetubuhi dalam keadaan mahu tidak mahu. Hal ini akan sungguh mengecewakan suami anda. Dia akan merasa bahawa dirinya tidak dihargai, sedangkan pada fikirannya persetubuhan itu ialah jalinan kasih dua jiwa yang memanisfitasikan cintanya.

16. Ketika suami anda sakit, tunjukkanlah kesungguhan anda untuk merawatnya dan membangkitkan semula semangatnya, melahirkan kesedihan anda dan harapan anda agar dia lekas sembuh. Dia akan ingat kepada anda dan begitu mengasihi anda kerana dia tahu bahawa anda bukan saja mengasihinya sewaktu dia sihat. Ingat wahai isteri jgn biarkan suami anda kesakitan sendiri, sesungguhnya dalam keadaannya sakit dan anda pula tidak sikit pun menghiraukannya, hati lelaki mudah berkata’ inginkanseseorang yang dapat membantu’, jangan la hanya ingin senang bersama, bila susah tidak hiraukan. Pemikiran lelaki tak dapat di baca apabila umurnya 40 an.

17.Selalu la memasak untuk suami terutama bagi wanita yg berkerjaya. Elakkan suami anda dari selalu makan di luar, kerana air tangan seorang isteri juga dapat mengeratkan kasih sayang terhadap sesebuah keluarga.

18. Apabila suami anda meninggal dunia, jagalah anak-anak anda dengan baik serta berterusanlah menjaga silaturrahim bersama keluarga suami anda. Mudah-mudahan nanti, anda akan menemui suami anda disyurga. Kepada isteri, jika anda berlakukan demikian, teruskan la, kepada yang tidak melakukan salah satu darinya, cuba la baiki diri anda. Sesungguhnya yg paling penting, hormat la suami anda, jangan sekali di caci. Yg baik datangnya dari Allah s.w.t, yg buruk datangnya dari diri kita sendiri…ubahlah sebelum terlambat

rahsia murah rezeki

1. Jangan sekali-kali lupa untuk menunaikan ibadah kepada Allah

Walau sibuk macammana sekalipun, pastikan diri kita sentiasa menunaikan perintah2 Allah.Solatlah dengan tenang. Beribadah kepada Allah, maka insyaAllah pasti diri kita akan dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan.

Allah (SWT) tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-
Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan
membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah (SWT) , yang menjadi sebab Allah (SWT) jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah (SWT) s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,
Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah (SWT) jika masih buat dosa. Dosa bukan
saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w. :

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa
yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4.Berzikir dan Sentiasa ingat Allah (SWT)
Banyak ingat Allah (SWT) buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah (SWT) beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah (SWT) . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (SWT) hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar
siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan
Allah (SWT) akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w. :

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya
nescaya terputuslah rezeki (Allah (SWT) ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)


6.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan
dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w. :

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana
orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7.Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah (SWT) akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8.Banyakkan berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita
tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,
kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan
terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan
rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10.Bangun pagi awal (Jangan tidur sampai tengahari)

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membaca keberkatan dan murah rezeki.

10.Bangun awal pagi (Jangan tidur sampai tengahari)

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membawa keberkatan dan murah rezeki.

11.Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12.Selalu berada dalam keadaan berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah (SWT) . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah (SWT) akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13.Selalu Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah (SWT) dan menjadi sebab Allah (SWT) buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah (SWT) azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah (SWT) membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah (SWT) menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14.Selalu bangun solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah (SWT)

15.Selalu menunaikan Solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah (SWT) dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16.Bersyukur kepada Allah (SWT)

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah (SWT) . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah (SWT) berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)

Firman-Nya lagi:

“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah (SWT) , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah (SWT) ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah (SWT) , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.”

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18.Selalu berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah (SWT) , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah (SWT) suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.


mohonlah kepada Allah...
19.Berusaha dan berikhtiar sehabis baik

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah (SWT) berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah (SWT) beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20.Bertawakal dan meletak sepenuh harapan hanya kepada Allah

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah (SWT) . Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah (SWT) , nescaya Allah (SWT) mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah (SWT) dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebutkan di atas adalah amalan-amalan yang membawa
kepada takwa. Dengan takwa, Allah (SWT) akan beri “jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan
yang tidak terlintas di hatinya.” (Rujuk At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata
yang sebenarnya, kuncinya adalah melaksanakan ibadah dan amalan-amalan yang menambahkan ketakwaan kepada Allah.

Amalan-amalan takwa ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah (SWT) , lalu Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Sekian, semoga kita semua dimurahkan rezeki dan hidup dengan penuh penuh keberkatan dan rahmah daripadaNYA. InsyaAllah